PKINK SOKONG USAHA APM PERKASA KESIAPSIAGAAN KOMUNITI MELALUI KAMPUNG SIAGA 221
KOTA BHARU : Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus memperkukuh komitmennya dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana apabila menyertai Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahan Bencana Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang dianjurkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan di Pos Dakoh, Gua Musang, baru-baru ini.
KSKK PKINK menyertai program berkenaan yang dianjurkan oleh Angkatan Pertahanan Awan Negeri Kelantan dengan kerjasama pelbagai agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Raja Shamri, KSKK PKINK dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).
Penyertaan PKINK melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan komuniti yang lebih berdaya tahan serta bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan dan bencana.
Pengerusi Biro Dakwah dan Kebajikan KSKK PKINK, Muhd Thoriq Hasani Mahbub berkata, kerjasama strategik antara PKINK dan APM wajar diperkukuhkan menerusi penganjuran lebih banyak program yang memberi pendedahan kepada anggota Kumpulan PKINK berkaitan aspek pengurusan bencana dan keselamatan awam.
Menurut beliau, inisiatif seperti Program Kampung Siaga 221 bukan sahaja meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta, malah menyemai semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap keselamatan komuniti.
"Program ini melibatkan penyertaan seramai 60 peserta yang terdiri daripada pegawai dan anggota APM Negeri Kelantan, termasuk empat wakil daripada Kumpulan PKINK. Sebanyak 14 buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) digunakan bagi membawa anggota, logistik serta kelengkapan sepanjang misi ke Pos Dakoh.
"Penubuhan Skuad Kampung Siaga 221 amat signifikan dalam melahirkan komuniti yang lebih peka, bersedia dan berupaya bertindak sebagai barisan hadapan sebelum bantuan daripada agensi penyelamat tiba," katanya.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), YAS TKPj. Bersekutu (PA) Dato' Ismail Mohd Zawawi.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi IPPA, YS Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan IPPA, YS Kol. (PA) Effendy Haji Ali, Timbalan Pengarah APM Negeri Kelantan, Lt. Kol. (PA) Mohd Farid Ishak, dan Pengurus Kanan Perundangan dan Integriti Kumpulan PKINK, Mejar Bersekutu (PA) Mohd Roslan Mohd Zain.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai modul latihan meliputi pengenalan asas APM, teknik bantuan pernafasan kecemasan (CPR), bantuan kepada mangsa tercekik (choking), asas balutan kecemasan serta latihan kesiapsiagaan bencana.
Selain pengisian berbentuk latihan, program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti Flying Fox, pertandingan mewarna, pertandingan solekan, acara tarik tali, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi penyediaan kit makanan kecemasan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial APM dan PKINK, kit makanan turut disampaikan kepada penduduk Kampung Pos Dakoh bagi meringankan beban serta memperkukuh hubungan antara agensi pelaksana dengan komuniti setempat.
Program Kampung Siaga 221 merupakan platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat bagi membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, responsif dan bersedia menghadapi cabaran bencana demi kesejahteraan rakyat.