TAZKIRAH PENGURUSAN/ANGGOTA  PERBADANAN KEMAJUAN IKTISAD NEGERI KELANTAN

Berikut merupakan diantara himpunan tazkirah yang disampaikan oleh pengurusan Perbadanan semenjak program ini dilaksanakan. 2006 lagi. Penyampaian tazkirah ini telah dibuat dengan objektif kearah menerapkan nilai-nilai murni dan saling berpesan-pesan antara saudara Islam baik didalam organisasi mahupun luaran. Himpunan ini akan dikemaskini dari masa ke semasa; disamping sebagai pengisian laman web ianya dapat juga digunakan sebagai bahan rujukan yang sederhana. Semuga kita sama-sama mendapat rahmatNYA - webmaster 

 

| Muka Utama |

Bercakap Benarlah Walau Ianya Pahit  - Tuan Hj Mohd Suahimi Husin (TKE P&P) 2006

Amanah Sikap Yang Perlu Diteladan - Tuan Hj Wan Adnan Wan Abd Kadir (TKE HEK) 2006

Ke Aarah Ledakan Kecemerlangan Dan Sifat Berbangga Dengan Islam - Tuan Haji Abas Salleh (TKE P&P) 

Muhasabah Diri  - Tuan Hj Mohd Alwi Ya (Pengurus Pembangunan Usahawan)

Umat Yang Terbaik - Tuan Haji Suhanee Araui (Pengurus Perancangan Korporat)

Mukjizat Yasin - Tuan Haji Mohd Razali Deraman (Pengurus Audit & Naziran)

Kibir - Tuan Haji Sanusi Ismail (Pengurus Hartanah & Sumber Asli)

Malam Nisfu Syaaban Tuan Haji Baharuddin Harun (Pengurus Galakan Industri & IKS)

Sifat-sifat Berani Tuan Hj Nik Mohammad Kamal Nik Yusoff Pengurus MIS)

BIL 01/2006 - Timbalan Ketua Eksekutif (Projek & Pembangunan), Tuan Haji Mohd Suhaimi Husin.

Tazkirah yang disampaikan dipetik dari iktibar yang diperolehi dari sebuah cerita purba. Cerita adalah mengenai seorang raja disebuah negeri yang mengumpul kesemua menteri-menteri beliau untuk bertanyakan perihal sebotol minyak wangi. Minyak wangi tersebut diedarkan untuk para-para menteri baginda memberi pendapat perihal minyak wangi yang dikatakan baginda berbau busuk. Kesemua menteri-menteri beiau meng'ia'kan kata-kata baginda kecuali menteri yang terakhir. Menteri tersebut telah dengan ikhlasnya menyampaikan kebenaran apa yang telah beliau dapati setelah menghidu minyak wangi tersebut. Ianya amat wangi. Baginda pun memecat kesemua menteri-menteri yang ada dan melantik menteri yang akhir itu sebagai penasihat beliau.

'Intipati cerita' :

  • Seorang pemimpin yang sentiasa mengetahui tanggungjawapnya akan berusaha memperbaiki pucuk pemerintahannya.

  • Seorang pemimpin mestilah bersikap terbuka dan sedia menerima teguran.

  • Ulama yang menghampiri umara' akan binasalah negara.

  • Kata-kata ikhlas disukai Allah walaupun dibenci manusia dan kata-kata yang tidak ikhlas dibenci Allah walaupun disukai manusia.

  • Carilah keredhaan Allah walaupun menghadapi seribu kesusahan.

  • Kebaikan sejati adalah berani berkata benar kepada pemerintah yang zalim.

  • Pemerintah zalim suka kepada kata-kata manis walaupun ianya tidak benar.

  • Jauhi sifat munafiq simusang berbulu ayam.

  • Allah membenci orang munafiq dan munafiq itu lebih hina dari orang kafir kerana sifat bohongnya.

  • Jangan jadi pak turut sehingga menggelapkan kebenaran.

Memetik satu teladan yang amat masyuruntuk renungan bersama iaitu dialog antara Imam Al-Ghazali menanyakan kepada muridnya. Imam Ghazali menanyakan beberapa soalan:

Apakah yang paling dekat? Jawab anakmuridnya: Ibu Bapa

Betul kata Imam Al Ghazali, tetapi yang lebih tepat adalah mati kerana ianya boleh datang bila-bila masa tak mengira tempat.

2. Apakah yang paling jauh dengan kita?

Jawab anak murid Imam Al-Ghazali, "hujung dunia" "puncak bukit" dan pelbagai. 

Betul kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling tepat adalah masa, kerana masa tidak menunggu kita. Setiap yang berlaku takkan kembali.

3. Apakah yang paling besar?

Jawab anak murid Imam Al-Ghazali, "gunung" .

Betul kata Imam Ghazali, tetapi yang lebih tepat adalah nafsu kerana keinginannya tak terbatas .

4. Apakahyang paling berat?

Jawab anak murid Imam Al-Ghazali, "besi" "batu" dan pelbagai.

Betul kata Imam Ghazali tetapi yang lebih tepat ialah amanah, kerana amanah adalah perkara yang tidak sanggup dipikul oleh lain-lain makhluk Allah melainkan manusia.

5. Apakah yang paling ringan?

Jawab anak murid Imam Al-Ghazali, "kapas" 

Betul kata Iman Al Ghazali tetapi yang lebih tepat adalah meninggalkan solat kerana manusia terlalu mudah meninggalkan solat.

6. Apakah yang paling tajam?

Jawab anak murid Imam Al-Ghazali, "pedang"

Betul kata Imam Ghazali tetapi yang lebih tepat adalah lidah kerana kata-katanya adalah amat berbisa.

Top

BIL 2/2006 - Timbalan Ketua Eksekutif (Hal Ehwal Korporat), Tuan Haji Wan Adnan Wan Abd Kadir.  

Hadirin telah diminta untuk mengimbas kembali tazkirah yang lalu, mengenai soalan yang diajukan oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya tentang : 

  • Yang paling dekat - Mati

  • Yang paling jauh - Masa

  • Yang paling besar - Hawa Nafsu

  • Yang paling berat - Amanah

  • Yang paling ringan - Tinggalkan solat

  • Yang paling tajam - Lidah

Konsep amanah dalam Islam ditekankan dan ianya perlu diserapkan ke dalam kehidupan sehari-harian , terutamanya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini. "Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedangkan kamu mengetahui". 

Sifat amanah dalam kepimpinan yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar , Saidina Omar dan Omar Abdul Aziz di ketengahkan sebagai contoh; sedikit pun tidak digunakan harta kerajaan untuk kegunaan peribadi. Anggota sama-sama diseru untuk muhasabah diri sejauh mana kita dibandingkan dengan pemimpin agung tersebut. Ternyata amat jauh penghayatan kita mengenai amanah jika dibandingkan dengan tokoh-tokoh tersebut sedangkan apa yang kita makan dan memberi anak dan isteri kita makan jika dari punca yang haram akan dihitung kelak. Sehingga dalam penyediaan kertas kerja mengenai daya maju sesuatu projek pun pegawai  yang terlibat perlulah melaksanakan tugas dengan penghayatan bahawa kita mengurus hak rakyat.

Top

Bil 3/2006 - Timbalan Ketua Eksekutif (Projek & Pembangunan) Tuan Haji Abas Salleh

Tazkirah yang diberi berkisar  ke arah ledakan kecemerlangan dan sifat berbangga dengan Islam. Ianya merangkumi 3 skop penghayatan iaitu penghayatan asas, penghayatan sokongan dan penghayatan kesempurnaan.  

Penghayatan Asas Pentingkan Iman & Taqwa

Ikhlas * Utamakan Syariat

Laksanakan Ibadah * Dirikan Solat

Berzikrullah * Berjihad * Bertawakkal

Jaga Kualiti * Tegakkan Ihsan * Pelihara Amanah

Berakhlak * Bersikap Positif * Menegak Keadilan

  Kuasai Ilmu & Hikmat

Meneliti Al-Quran * Berwawasan 

Merancang

Penghayatan Sokongan

Urus Emosi * Memaafkan

Konsisten

Komunikasi Efektif

Bersatupadu

Bekerja Dalam Satu Pasukan

Bermusyawwarah

Bentuk Pelapis

Penghayatan Penyempurnaan

Jaga Makan & Kesihatan

Memanfaatkan pusingan biologi

Jaga Imej

Urus Masa Depan

Kuasai Teknologi

Top

 BIL 04/2006 Pengurus Pembangunan Usahawan, Tuan Hj Mohd Alwi Ya. 

Tazkirah membicarakan tentang penting dan wajarnya muhasabah diri; menyemak dan membuat penilaian kembali apa yang telah kita buat dan lalui kerana setiap insan itu tidak terkecuali dari membuat silap. Muhasabah diri dapat membantu dalam membina kekuatan dalaman kita.  Berpandukan kepada beberapa soalan berikut; tanyalah kepada diri kita sendiri.

  • Siapakah kita?

  • Kemanakah kita?

  • Apakah matlamat kita?

  • Apakah tanggungjawab kita?

... kerana hanya kita yang dapat menentukan masa depan kita.

Top

 BIL 05/2006 Pengurus Perancangan Korporat, Tuan Haji Suhanee Araui 

Al-Imran ayat 110: 
Bermaksud :" Kamu (wahai umat muhamad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan (bagi) faedah umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada allah (dengan sebenar-benar iman)".

Tazkirah mengupas ayat di atas dimana untuk menjadi umat Rasulullah dengan kata mudah kalau suka dan mahu; hendaklah kita tunaikan kedua-dua syarat ; berseru kepada amal makruf melarang kemungkaran dan beriman kepada Allah. 

  • 9 sifat yang digariskan dalam AlQuran bagi orang yang beriman;

    • Orang yang bertaubat

    • Orang yang beribadat

    • Orang yang mensyukuri nikmat Allah (Lahirkan & zahirkan)

    • Orang yang mengembara ke jalan Allah, melihat kebesaran Allah.

    • Orang yang rukuq

    • Orang yang sujud

    • Orang yang menyuruh kepada yang ma'ruf dan melarang pada yang mungkar

    • Orang yang memelihara batas-batas hukum Allah

     

  • 4 petua Rasulullah untuk meningkatkan darjat ;

    • Bersopan santun dengan orang yang tidak pedulikan kita

    • Maafkan orang yang menzalimi kita

    • Berikan kepada mereka yang bakhil terhadap kita

    • Hubungi lah mereka yang memutuskan silaturrahim

Sebagaimana lazimnya, untuk memperolehi sifat orang beriman dan terus meningkatkan darjat ada penghalangnya yang diantaranya adalah penyakit hati, keluh kesah, malas, lemah semangat, tak yakin, penakut, tak bersyukur atas nikmat serta suka berhutang dan melalui amalan doa, wirit Al-Ma'thurat, Ayat 1000 dinar dan solat Dhuha insyallah perjuangan akan berhasil.

Top

 BIL 06/2006 Pengurus Audit & Naziran, Tuan Haji Mohd Razali Deraman 

Mukjizat yang di turunkan oleh Allah s.w.t kepada RasulNya adalah Al-Quran. Ianya kekal di jaga oleh Allah s.w.t sehingga sekarang yang mana didalamnya mengandungi Surah Yaasin (Surah Al- Makkiah). Surah Yaasin merupakan intipati tazkirah yang disampaikan. Surah yang ke 36, Juzu' ke 22 & 23 mengandungi 83 ayat, 3 helaian dan 84 baris.

INTISARI AYAT menegaskan kebesaran Al-Quran dan RasulNya berada di jalan yang benar. Memperlihatkan orang-orang yang degil dan tamak haloba dengan harta-harta dan pangkat dan mereka ini tidak akan beriman dan kekal dalam kekufuran.

Peringatan dan amaran Allah swt dalam Al-Quran adalah memberi kesan kepada orang yang ingin beriman dengan Al-Quran walaupun mereka tidak melihat Allah s.w.t dan azab-azab yang diceritakan di dalam Al-Quran. Diceritakan juga  didalamnya tentang satu golongan pada zaman Nabi Isa a.s.; utusan di hantar kepadanya supaya beriman tetapi mengingkarinya telah mendapat azab. Mereka yang beriman pula mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

Allah s.w.t. menegaskan betapa besarnya kekesalan mereka yang ingkar kata Tuhan ;tidakkah kamu melihat umat-umat yang terdahulu yang telah kami binasakan seperti Kaum Luth , Kaum Add , Kaum Samud dan Kaum Firaun. Tiada satu makhluk pun termaksud KITA akan dihimpun di hari akhirat dan untuk mendapatkan balasan yang setimpal nanti. Pada hari itu anggota kita menjadi kesaksian.

Allah swt memperlihatkan kekuasaannya :

              i. Bumi yang mati di hidupkan dengan tanaman-tanaman yang subur.

 ii. Binatang-binatang berpasang-pasangan.

iii. Bulan , bintang , matahari beredar pada tempat yang di tetapkan. Siang dan malam silih berganti.

Pada akhir surah, Allah s.w.t memperlihatkan akan kekuasaannya , dengan berfirman kepada hakikat sesuatu itu , jadilah engkau – maka jadilah ia.

KELEBIHAN SURAH YAASIN  

  • Hadrat Ata Ibn Abi Ribah berkata , Rasulullah s.a.w. telah bersabda “Siapa yang membaca surah Yaasin di permulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan di penuhi.”

  • Segala sesuatu mempunyai hati,dan hati bagi Al Quran ialah surah Yaasin. Barang siapa yang membaca surah Yaasin , Allah s.w.t. akan menulis pahala baginya seumpama ia membaca seluruh Al Quran sebanyak 10 kali.

  • Allah s.w.t. membaca surah Yaasin dan surah Taha seribu tahun lamanya sebelum terciptanya langit dan bumi. Para malaikat berkata “Ummat dimana Al Quran di turunkan akan dirahmati  hati-hati yang memikulnya, yakni yang menghafalnya akan dirahmati dan lidah-lidah yang membacanya akan juga di rahmati.”

  • “ Sesiapa yang membaca surah Yaasin semata-mata kerana Allah s.w.t. segala dosa-dosanya akan yang dahulu akan diampunkan. Jadikan sebagai amalan untuk dibaca keatas orang-orang mati.”

  • Surah Yaasin di namakan Mun’mah (pemberi berita baik) di dalam Torah kerana ia mengandungi manfaat kepada pembacanya, di dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat.

  • Ia menghindarkan penderitaan di dunia dan juga di akhirat dan menjauhkan kedasyatan di kehidupan akhirat.

  • Ia juga di kenali sebagai Rafi’ah Khafidah iaitu mengangkat darjat orang-orang yang ingkar (tidak beriman). Riwayat Rasulullah s.a.w. bersabda , “ Hatiku menghendaki supaya surah Yaasin berada di setiap hati umatku.”

  • Jika surah Yaasin di baca pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia , ia akan mati sebagai mati syahid.

  • Diriwayatkan dalam hadis lain, “ Barang siapa yang membaca surah Yaasin akan diampunkan, sesiapa sahaja yang membacanya semasa kelaparan, akan di hilangkan kelaparannya itu, barangsiapa yang membacanya dikala sesat jalan, akanmenjumpai jalan semula, barangsiapa membacanya kerana kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, bila seseorang itu membacanya kerana bimbang kekurangan makanannya,makanan itu akan mencukupi, jika ia dibaca kepada orang yang membaca kepada orang yang menghadapi penderitaan maut, akan dimudahkan baginya dan jika dibaca keatas perempuan yang sukar untuk melahirkan anak, akan dimudahkan bagi bayinya.

  • Maqri Rahmatullah Alaihi berkata, “ Jika surah Yaasin di baca oleh seseorang yang takutkan pemerintah atau musuh, ia akan dihilangkan dari ketakutan itu.”

  • Menurut hadis yang lain, jika membaca surah Yaasin dan surah Was-Saffat pada hari jumaat dan memohon kepada kepada Allah s.w.t sesuatu,doanya akan diterima. 

(Dipetik daripada Tafsir Surah Al-Yaasin oleh Shiekh Hamimy Zadah)

  Peringatan kepada amalan sembahyang Dhuha, ringkas hanya 2 rakaat beserta doa untuk kesihat dan murah rezeki. Petua amalan untuk orang berjaya dan murah rezki, Ayat 1000 Dinar dan Surah Yusof ayat 37.

Top

 BIL 07/2006 Pengurus Hartanah & Sumber Asli, Tuan Haji Sanusi Ismail 

KIBIR telah diketengahkan dalam tazkirah kali ini serta diulas melalui;

  1. Apa itu makna Khibir?

  2. Tanda-tanda sifat Kibir

  3. Sebab-sebab Kibir

  4. Kesan Sifat Kibir

  5. Cara-cara Mengatasi Kibir

APA ITU KIBIR?

Istilah yang mungkin tidak dikenali khibir mempunyai makna :      

  • Mengikut istilah bahasa melayu – kibir ertinya sombong atau angkuh. Bahasa moden pula ialah ego.
  • Mengikut syariat islam – kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan diri dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah dan menderhakaiNya. Sifat kibir atau sombong atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasa diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin yang paling keji.

Dosa dan kesalahan pertama yang di lakukan makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong. Iblis engan sujud kepada Nabi Adam a.s. karana sifat sombongnya. Dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. kerana kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam a.s. dari tanah. Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al-Quran,firmannya yang membawa maksud:

"Dan (ingatlah) ketika kami memerintah kepada malaikat : “ Sujudlah kepada Adam “Dia (iblis) enggan dan membesarkan diri. Maka sesungguhnya dia dari golongan musyrik.” ( Al Baqarah : 34 )

Disini Allah menceritakan bagaimana keengganan iblis untuk tunduk dan taat arahan Allah. Allah mengutuknya dan mengeluarkannya daripada syurga. Dengan menukarnya rupa menjadi buruk. Di sinilah bermulanya dendam kepada Nabi Adam a.s. dan anak cucu cicitnya yang tak pernah padam.

Diantara ayat Al Quran yang sangat melarang kita memakai sifat kibir ialah :

  1. Surah Al Mukmin , ayat 60 bermaksud : “sesungguhnya orang – orang yang menyombong diri daripada menyembahku akan masuk keneraka jahanam dalam keadaan hina dina.”

  2. Surah Al Israk , ayat 37 bermaksud : “ Janganlah kamu berjalan dengan menyombong diri kerana sesungguhnya kamu sekali – kali tidak dapat menembusi bumi dan ketinggian kamu tidak akan melepasi gunung .”

  3. Surah An Nahl , ayat 23 : “ Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong .”

TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG

Sifat–sifat sombong dapat di kesan melalui pergaulan sesama manusia iaitu samaada sombong keterlaluan , sederhana atau ringan. Terdapat 26 tanda – tanda sifat sombong iaitu :

  1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang lain itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi pandangan daripada orang lebih rendah darinya samaada disegi pangkat , umur atau lain-lain.

  2. Mudah marah atau emosional – bila berlaku perbincangan dua hala , cepat naik darah kalau ada tersilap

  3. Memilih-milih kawan – Suka berkawan dengan sama level sahaja atau sama taraf.

  4. Bahkan dengan orang sama level dengannya masi di pilih-pilih lagi yakni ia suka orang yang mahu dengar katanya.  

  5. Memandang hina kepada golongan bawahan. 

  6. Dalam perbincangan biasa dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang di perlukan.

  7. Dalam pergaulan ia suka kata-katanya didengari , diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihak dia sendiri ia susah hendak dengar cakap orang lain.

  8. Dalam pergaulan dia saja memborong untuk bercakap. Kalu ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang lain.

  9. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikutnya dan orang bawahannya.

  10. Susah memberikan kemanfaatan kepada orang lain yang tersilap dengannya. Bahkan ditengking , diherdik dan dihina. Dibelakang di umpat-umpat. 

  11. Kalu dia yang bersalah , susah hendak minta maaf.

  12. Dia suka dihormati.

  13. Suka menzalimi orang sama ada secara halus atau kasar.

  14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu.

  15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah, serta membenci orang.

  16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang.

  17. Suka mengangkat - angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.

  18. Suka menghina dan menjatuhkan dan air muka orang di hadapan orang lain.

  19. Kurang menikmati nikmat Allah s.w.t. kalau ada, dibazirkan. Kalau ada duit lebih suka membeli barang yang tidak perlu.

  20. Kalau berdiri lebih suka bercekak pinggang. Kalau bercakap menepuk-nepuk meja.

  21. Kurang memberi simpati orang lain kecuali dengan tujuan sebaliknya.

  22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka menjadi tetamu orang.

  23. Tidak suka menyebut kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.

  24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan diri sendiri didiamkan.

  25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kelebihan orang lain.

  26. Dia sangat tersinggung kalau orang sebut kelebihan orang lain didepannya. Tetapi kalau dia dipuji , dia berasa bangga dan senang hati.

SEBAB – SEBAB SOMBONG

Mengikut sesetengah pendapat ada 7 faktor penyebab seseorang itu memiliki sifat-sifat sombong  iaitu : 

   i.   Memiliki kuasa sama ada kuasa besar ataupun kuasa kecil.

  ii.   Mempunyai pengetahuan sama ada tentang dunia atau akhirat.

 iii.   Mempunyai harta kekayaan

 iv.   Mempunyai kegagahan iaitu kekuatan fizikal atau kepandaian dalam ilmu 

        mempertahankan seperti tinju , gusti dll.

  v.   Keturunan. Ada sombong kerana keturunan bangsawan , keturunan ulama dll.

 vi.   Berwajah tampan, , cantik , disayangi oleh bos , dll.

vii.   Bukan sebab diatas tapi mungkin dia seorang miskin , jahil , cacat , lemah

        sedangkan dia tetap sombong. Ini di katakan bodoh sombong.

 

KESAN SIFAT SOMBONG

 

Di sini akan dihuraikan 3 kesan sifat sombong iaitu :

  1. Orang benci kepadanya. Fitrah semulajadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong.

  2. Mudah marah di mana kebiasaannya kemarahan akan berakhir dengan perbalahan. 

  3. Bila wujud sifat sombong akan lahir pula penyakit mudah berdendam , hasad dengki mudah bertindak balas di atas kesilapan orang lain. Kadang-kadang belum tentu silapnya , dia telah gopoh-gapah bertindak.

Kesombongan sangat membahayakan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya. Lantaran itu Allah sangat murka dan tempatkan mereka ini di neraka bersama Firaun , Namrud , Hamman dan lain-lain yang angkuh dan zalim.

 

CARA–CARA ATASI KESOMBONGAN

 

Memandangkan betapa bahayanya penyakit hati ini maka usaha – usaha lahir ini mesti di buat untuk membendungnya. Beberapa panduan dan kaedah bagi mengikis buang dan mengubatinya :  

  1. Ada ilmu tentang sifat-sifat mazmumah – Perlunya ilmu kerana ia merupakan sifat batiniah payah di kesan tetapi mudah di kesan orang lain.

  2. Bawa berfikir tentang kejadian manusia – Sedarkan bahawa kejadian manusia adalah sama. Yakni daripada tanah dan mati kembaliketanah semula. Walaubagaimanapun  hebat sekalipun orang itu , kejadian sama dengan orang lain. Untuk apa di banggakan kehebatan itu kerana akhirnya kembali ketanah jua.

  3. Fikirkan dan sedarkan hati kita bahawa kejadian manusia yang kedua adalah daripada air mani – Ertinya kejadian manusia itu tiada bezanya antara satu dengan yang lain samaada kaya , berilmu , pembesar dll. Kalaulah orang kaya daripada intan , pembesar daripada emas , orang berilmu daripada berlian , dan orang biasa daripada air mani , boleh juga lah berbangga-bangga.

  4. Melihat respon orang lain terhadap kita – Dalam pergaulan hidup dapat kesan respon orang lain kepada kita. Bila orang sudah benci di waktu perlukan orang akan pulaukan kita.

  5. Ambil iktibar daripada pengalaman hidup – Apabila ada kelebihan , keistimewaan dan kehebatan bolehkah kita bersikap sombong ? Apakah kita berkuasa mengelakkan diri  daripada sakit ? Apakah kita mampu melawan kuasa tentera Allah ? Apakah kita mampu melawan kematian ? Jawabnya tentu tidak. Kalau begitu kenapa kita  merasakan diri kita lebih dari lain. Sepatutnya kita bersyukur bukanya berkibir.

  6. Ingat azab Allah untuk sombong – Ingat dihati bahawa sifat sombong sangat dimurkai Allah. Akibatnya kita dicampakkan ke neraka yang panas apinya 70 kali ganda api dunia dan dalamnya 70 ribu tahun perjalanannya baru sampai ke dasarnya.

  7. Ingatlah neraka yang keseluruhannya api, diatasnya api , dibawahnya api dikanan kirinya adalah api yang memakan dan menghanguskan daging-daging dan tulang belulang tubuh manusia. Kemudian di ganti dengan tubuh yang baru dan diseksa lagi. Begitulah berulang-rulang sepanjang masa.

  8. Walhal di waktu kita dibelenggu kaki dan tangan serta dicemeti berterusan oleh malaikat Zanabiah, bau mereka yang busuk tak dapat digambarkan. Kalau ditakdirkan bau itu dicium penduduk dunia akan matilah semua lantaran busuknya.

Perkara di atas perlu difikirkan dan direnungkan dan diingatkan selalu dalam hati agar tidak lupa. Kesannya diharap akan menakutkan untuk kita bersikap sombong atau ego. Harapan kita moga-moga Allah sentiasa memimpin kita agar menjadi hamba yang merendah diri.  

Top

 BIL 08/2006 Pengurus Galakan Industri & IKS - Tuan Haji Baharuddin Harun 

MALAM NISFU SYA’BAN  

1.          Sekarang kita berada di bulan Nisfu Sya’ban. Bulan sya’ban adalah terletak antara dua bulan iaitu bulan rejab yang merupakan bulan haram dan bulan ramadhan yang merupakan bulan mulia dan bulan Al Quran di turunkan.

2.          Bulan Sya’ban merupakan bulan yang Rasulullah memperbanyakkan puasa sunat berbanding dengan bulan-bulan lain. Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah: “ Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa di bulan-bulan lain seperti mana engkau berpuasa di bulan sya’ban.” Baginda menjawab, “ ia adalah bulan yang dilupa oleh kebanyakan manusia iaitu bulan antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan amalan manusia di angkat kepada Tuhan sekelian alam, dan aku suka amalan aku di angkat dalam keadaan aku berpuasa.

3.          Sebagaimana ada riwayat yang sehih menyatakan bahawa baginda berpuasa hari isnindan khamis setiap minggu. Didalam setengah hadis baginda telah ditanya tentang berpuasa tentang rahsia tentang berpuasa tentang hari isnin dan khamis, baginda menjawab: “ Pada kedua hari ini amalan hamba di bentangkan kepada Tuhan sekelian alam, dan aku suka amalan aku dibentangkan dalam keadaan aku berpuasa.

4.          Hari ini adalah 14hb. Sya’ban dan esok adalah hari pertengahan bulan sya’ban. Malam ini adalah malam nisfu Sya’ban .Atau banyak hadith-hadith yang telah menceritakan tentang kelebihan malam nisfu sya’ban. Antara hadith itu adalah sebuah hadith hasan yang telah diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Allah sentiasa melihat kearah semua makhluknya pada malam nisfu sya’ban lalu mengampunkan semua makhluknya melainkan orang syirik dan orang yang bermusuhan.”

5.          Allah sentiasa memerhatikan makhluknya dengan pandangan yang lembut dan di sertai dengan keampunan. Akan tetapi pemerhatian pada malam ini adalah pemerhatian yang di sertai dengan belas kasihan dan keampunan serta perhatian yang istimewa.

6.          Tentang dosa syirik Allah telah menjelaskan pada ayat Nya :

( AN NISA’ 4:116 ) Ertinya ;   “Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mensyirikkan Nya dengan sesuatu dan dia akan mengampunkan dosa selain dari perbuatan syirik bagi sesiapa yang di kehendakiNya.”

                  7.           Manakala orang yang mempunyai permusuhan, perkelahian, memutuskan tali persaudaraan adalah terhalang dari mendapat keampunan. Allah akan menangguhkan keampunan dari kedua orang yang bermusuhan itu sehinggalah mereka berbaik-baik semula.

8.          Pintu keampunan Allah adalah juga tertutup bagi mereka yang mengotorkan hati mereka dengan perasaan dengki. Mereka adalah merupakan orang yang tidak berdoa dengan doa

(AL HASYAR 59:10)    Ertinya:  “Wahai Tuhan kami ampunkan lah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan dan janganlah Engkau jadikan didalam hati kami rasa dengki terhadap orang-orang yang beriman . Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.”

                 9.            Seperkara lagi yang di kaitkan dengan malam nisfu sya’ban ini adalah satu peristiwa yang berlaku dalam tahun kedua Hijrah iaitu peralihan kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Baginda Rasulullah telah mengimpikan dalam dirinya supaya dia dapat mengadap kearah kiblat bapanya Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang telah membina rumah Allah itu. Dan Nabi Muhammad S.A.W adalah pewaris dan pengikut agama Nabi Ibrahim. Firman Allah

(AN NAHLU 16:123) Ertinya; " Kami akan melihat muka engkau terngadah kelangit, maka kami palingkan engkau kearah kiblat yang engkau suka…..”    

                Allah telah menunaikan apa yang di kehendaki oleh baginda. Allah telah menurunkan firman Nya:

(AL BAQARAH 2:144) Ertinya; “ Kami telah melihat muka engkau terngadah kelangit, maka kami palingkan engkau kearah kiblat yang engkau suka…..”

10.                  Peristiwa pertukaran arah kiblat ini adalah juga merupakan salah satu rahsia ujian Allah terhadap manusia sebagaimana firman Nya:

(AL BAQARAH 2:143)  Ertinya ; “ Dan kami tidak menjadikan (kamu mengadap) kearah kiblat yang kau hadapkan muka hari ini melainkan Kami ingin tahu siapakah yang mengikut Rasul dan siapa pula yang berpaling tadah tidak mengikutnya.”

11.                Antara amalan-amalan di malam nisfu sya’ban ialah bacaan surah yasin,istiqarah,sembahyang malam,berselawat dan lain amalan yang dilakukan ikhlas kerana Allah.

12.                Akhirnya samalah kita mengambil pengajaran malam nisfu sya’ban dimana Allah mengampunkan dosa setiap hambaNya yang tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain dan kecuali seorang ada permusuhan dengan saudaranya yang lain.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dan sahihnya ada dinyatakan : Tiga golongan yang sembahyang mereka tidak akan diangkat walaupun sekadar sejengkal iaitu lelaki yang mengimankan sembahyang satu kaum sedangkan mereka tidak menyukainya,perempuan yang suaminya tidur dalam keadaan marah kepadanya dan dua orang saudara yang bermusuhan antara satu sama lain.

Sama-samalah kita memperbanyakkan amalan kita dimalam ini dan berpuasa pada keesokkan hari bagi mereka yang mampu.

Sekian.  

Top

BIL 09/2006 Pengurus MIS - Tuan Hj Nik Mohammad Kamal Nik Yusoff 

SIFAT-SIFAT BERANI

Sedar ataupun tidak kita semua mempunyai sifat-sifat berani. Cuma yang membezakannya samada sifat berani yang ada pada kita ini adalah Sifat Berani Yang Negatif ( sifat berani yang ditegah ) atau Sifat Berani Yang Positif ( sifat berani yang dituntut ) atau kedua-duanya sekali.

Apa yang dimaksudkan dengan Sifat-sifat Berani Yang Negatif ialah sifat berani kepada sesuatu yang patut ditakuti atau berani melanggar syariat dan peraturan yang baik, termasuk undang-undang yang dibuat oleh manusia. Dengan kata lain, berani yang merugikan diri sendiri dan sesama manusia, setidak-tidaknya berani yang tidak mendatang sebarang manfaat. Sifat berani ini dilarang oleh agama kita. Sebagai contoh, berani melakukan maksiat, berani menyakiti hati sahabat, berani melanggar peraturan lalu lintas dan seumpamanya.

Manakala Sifat-sifat Berani Yang Positif pula adalah sifat-sifat jika diamalkan akan mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri dan kepada sesama insan dan digalakkan oleh agama kita. Dengan kata lain, berani hanya kepada yang disuruh oleh Allah SWT dan takut melakukan yang salah dan maksiat. Sebagai contoh, berani beramal dengan sifat-sifat terpuji, berani menjauhi sifat-sifat yang buruk, berani menghadapi kritikan, bernai memberi kritikan yang menyenangkan, berani menghadapi kegagalan dan seumpamanya.

Beberapa Sifat-sifat Berani Yang Positif yang harus ada pada diri kita ialah :

Berani Menjauhi Sifat-Sifat Yang Buruk

Berdusta (Bohong) : Para ulama bersepakat bahawa yang dikatakan berdusta ialah memberi, menyampaikan maklumat dan laporan, yang tidak sesuai, tidak secocok dengan yang sebenarnya. Berdusta ada 3 jenis :  

  • Berdusta dengan perkataan, iaitu perkataan yang tidak sesuai dengan perbuatan.
  • Berdusta dengan tulisan, iaitu membuat sesuatu ikatan, akad, laporan berita yang tidak sesuai dengan kejadian ataupun keadaan yang sebenarnya.
  • Berdusta dalam hati, hatinya mendustakan sedang mulutnya membenarkan.

Hukum ketiga-tiganya adalah haram, dan Allah SWT sangat murka kepada orang-orang yang berbuat demikian sepertimana firmanNya dalam surah Ash-Saf : 3 yang bermaksud:

 Sangat besar kemurkaan di sisi Allah (jika) kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan”.

 Sabda Rasullullah SAW (riwayat Iznu Majah dan Nasa’i) :

 Hati-hatilah kamu akan berdusta, kerana dusta itu sama dengan kecurangan dan tempat kedua-duanya adalah di dalam neraka”. Walau bagaimanapun ada juga dusta yang dibenarkan iaitu ketika berperang dan dalam mendamaikan orang yang berbalah.

Takabur (Sombong) : Satu sifat yang sangat dicela dan dikutuk oleh ajaran Islam. Sifat ini sudah ada sejak Nabi Adam a.s dicipta lagi. Antara sifat yang dimiliki oleh orang yang takabur ialah mudah marah dan kasar, sering menghina, mencaci, jarang sekali berterima kasih dan memuji kelebihan orang lain, pantang menerima kritikan dan saranan, tidak suka bermusyawarah, tidak mahu mengaku kesalahan atau kekurangan dan sering dengki dengan orang lain dan antara kata-kata yang berunsur takabur ialah      “Kalau aku kati hitam, hitamlah………” dan “Kalau tidak kerana aku………”.

 sabda Rasullullah SAW ( riwayat Muslim ) :

 “Tidak akan dimasukkan ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah sifat takbur”.

Buruk Sangka : Buruk sangka atau “suudzan” memang sukar dihindari dalam kehidupan sehari-hari yang serba kompleks seperti sekarang ini. Apalagi dipermudahkan dengan berbagai-bagai alat-alat kemudahan komunikasi seperti Internet dan SMS yang mana mempermudah dan mempercepatkan penyebaran berita sebelum kesahihan berita disahkan. Begitu juga dengan perbuatan mencari-cari kesalahan orang lain atau                “tajasassu”. Mencari-cari kesalahan orang lain seolah-olah sudah menjadi alat untuk menutupi kesalahan diri sendiri.

 Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujuraat : 12 yang bermaksud :

 “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah suka salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani”.

 Sabda Rasullullah SAW (riwayat Abu Hurairah r.a.) :

 “Jauhilah oleh kamu prasangka, kerana berprasangka merupakan seburuk-buruk percakapan. Janganlah kamu mengada-adakan dan mencari-cari kesalahan orang lain”.

Mengumpat : Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. Mengumpat berlaku samada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Buruk dan hinanya mengumpat disamakan dengan memakan daging saudara seagama.

Dosa mengumpat bukan sahaja besar, malah antar dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT biarpun pelakunya betul-betul bertaubat melainkan diampunkan oleh orang yang kena umpat. Di akhirat nanti, pahala pengumpat akan diberi kepada yang kena umpat dan sekiranya tiada pahala lagi dosa yang kena umpat diberi kepada pengumpat.

 Allah SWT berfirman dalam surah Al-Humazah : 12 yang bermaksud :

 “Celakalah setiap pengumpat lagi pencela”.

 Sabda Rasullullah SAW (riwayat Bukhari dan Muslim) 

"Tidak masuk syurga orang yang mengumpat”.

Hasad Dengki : Hasad atau dengki adalah satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali, ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu.

 Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan kepada Allah SWT. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya.

Sabda Rasullullah SAW (riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah) :

 “Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar”.

 Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada 3 jenis :

  • Menginginkan agar kenikmatan orang lain hilang dan digantikan kepadanya.
  • Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana rasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat dari dengki di atas.
  • Tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.

Di dalam setiap diri manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenali sebagai ghibtah.

Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang. Ini bukanlah dengki sebenarnya.

 Sabda Rasllullah SAW (riwayat Ibn Masud) :

“Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah SWT harta benda dan membelanjakannya kepada perkara kebajikan. Kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.”.(riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi : Mustika HAdis 106).

Dalam hadis ini, Rasullullah SAW menerangkan dua hikmat pemberian itu amat besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap orang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh semoga Allah SWT mengurniakan nikmat itu. Dengan itu dapatlah ia menggunakannya menurut cara sebaik-baiknya seperti yang digunakan oleh dua orang itu.

 Kesimpulannya, hasad yang membawa kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah iri hati untuk turut berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapat nikmat Allah SWT dan menggunakannya kepada perkara yang diredhaiNya.

 Berani Beramal Dengan Sifat-Sifat Terpuji

Kejujuran : Jujur adalah nilai dan etika pengurusan organisasi yang diutamakan oleh Islam. Islam menegaskan bahawa perancangan dari atas ke bawah mesti jujur, amanah dan adil dalam pengurusan organisasi. Berani memberi teguran secara bijaksana (hikmah) termasuk dalam sifat jujur dari kaca mata Islam. Teguran itu mestilah dua hala, pihak atas sering membimbing dan memberi teguran kepada pihak bawahan. Sebaliknya, pihak bawahan juga berhak untuk melakukan hal yang sama.

Keadilan : Dari segi bahasa “adil” membawa maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pengistilahan meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah berdasarkan kepada ketentuan akidah, syariah dan akhlak serta bersumberkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Adil itu meliputi kepada diri sendiri dan orang lain.

Dalam bidang pengurusan organisasi, keadilan itu meliputi semua hal dan bidang dari segi peraturan, undang-undang, nilai, etika, pemilihan calon ke sesuatu jawatan, agihan kerja dan gaji. Pentingnya “keadilan” diperjelaskan lagi oleh Allah SWT dalam Al-Quran surah An-Nisa : 57 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”.

Kebenaran : Kebenaran dari kaca mata Islam itu berasaskan kepad iman dan taqwa. Benar tentang niat, perkataan, tingkah laku, tindakan dan dalam melaksanakan tanggungjawab serta tugas pengurusan. Iman dan taqwa menjadi asasnya. Hal inilah yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Taubah : 19 yang bermaksud :

“Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah SWT dan hendaklah kamu bersama orang yang benar”.

Kemaafan : Salah dan silap merupakan satu daripada fitrah manusia. Salah dan silap itu tidak seharusnya disengajakan. Justeru itu jika ia berlaku tanpa niat dan di luar kesengajaan, maka perbuatan itu harus dimaafkan. Dalam pengurusan organisasi, kemaafan digalakkan oleh Islam untuk memberi peluang kepada anggota yang melakukan kesalahan memperbaikinya. Tetapi ia tidak wajar diulangi lagi anggota yamg dimaafkan. Sehubungan dengan ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Nuur : 22 yang bermaksud :

“.... dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Kesabaran : Sabar ialah ketahanan rohani dan jasmani untuk melaksanakan titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Sifat ini sememangnya digalakkan oleh Islam dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi. Sabar dari satu segi ialah ketabahan menghadapi kesusahan dan kecekalan untuk mengatasi masalah. Dalam pengurusan dan pentadbiran organisasi, masalah dan cabaran merupakan asam garam yang tidak dapat dielakkan.

Sifat sabar sungguh mulia sekali untuk dihayati oleh anggota pengurusan organisasi kerana ia dimiliki oleh para Rasul. Kesabaranlah yang membimbing seseorang untuk mencapai kejayaan setelah mengalami kegagalan, kerugian, kehampaan dan sebagainya.

Syukur : Seseorang itu belum dikatakan bersyukur kepada Allah sebelum nikmat yang diperolehinya itu digunakan untuk hal-hal yang diredhai Allah.

Berani Menghadapi Kritikan

Perasaan takut kepada kritikan merenggut inisiatif seseorang, merosak kekuatan imaginasinya, membatasi kebebasan individu, merampas keberdiri sendiriannya, dan merugikan dalam banyak hal.

Takut menghadapi kritikan akan membuat seseorang pekerja takut meletakkan target yang tinggi bila menjalankan sesuatu kerja. Majikan yang memahami sifat manusia mendapat yang terbaik dari pekerjanya bukan dengan kritikan, melainkan dengan dorongan yang membina.

Berani Mengkritik Secara Menyenangkan

Kemukakan kritik yang membina. Tunjukkanlah bagaimana yang sebaiknya. Jangan hanya mencari-cari kesalahan. Kalau anda tidak tahu bagaimana sebaiknya untuk melakukannya, lebih baik anda diam.

Orang yang mengkritik pada masa kritik diperlukan, dan memberinya secara jitu, jarang kita temui. Mereka inilah memang pemimpin sejati. Ramai di antara kita lebih senang mengkritik semasa pemimpin tidak berada disisi mereka.

Cara-cara memberi kritikan yang positif ialah :

  • Kritiklah di bawah empat mata dan jangan sekali-kali mengkritik di depan orang ramai.
  • Lakukan itu dengan senyum simpul, secara bersahabat.
  • Mula dengan memuji, untuk mententeramkan orang yang bakal dikritik.
  • Kritiklah dengan mengemukakan kepentingan orang yang dikritik dan organisasi.
  • Kemukakan kritik yang membina. Tunjukkanlah bagaimana yang sebaiknya. Jangan hanya mencari kesalahan. Kalau tidak tahu bagaimana yang sebaiknya baik diam.
  • Akhirlah kritik anda dengan memuji, dan tepukkan ke bahu orang berkenaan.

 Berani Menghadapi Kegagalan

Orang yang berjaya tidak pernah mempunyai perasaan takut kepada kegagalan. Bahkan kegagalan merupakan pelajran terbaik bagi mereka.

Orang yang mempunyai rasa takut kepada kegagalan selalu cepat berputus asa. Kegagalan pertama membuatnya enggan untuk melanjutkan tindakan menuju matlamatnya.

Orang-orang yang menyerah pada rasa takut akan mengambil jalan pantas untuk mendekati matlamat. Mereka tidak akan fakir liku-liku kejayaan. Orang yang seperti ini mengharap kejayaan orang lain yang dilimpahkan kepadanya.

Orang yang takut gagal dalam mencapai cita-citanya lebih senang menjadi penonton dan pengkritik. Jika lihat orang lain gagal dalam usahanya maka ia akan mengejek habis-habisan, mengkritik dengan matlamat melemahkan keyakinan orang itu. Pengkritik yang paling lantang biasanya datang dari orang yang kecewa dan iri hati terhadap kejayaan orang lain.

 

Top