|
Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kumpulan PKINK Maulidur Rasul 2008 telah diraikan oleh kesemua anggota Kumpulan PKINK pada 30 Rabiulawal 1429 bersamaan 7 April 2008 yang lalu di Dewan Bunga Tanjung, Hotel Perdana, Kota Bharu. Agak lewat dari jadual asal, namun ianya tidak menghampakan hadirin apabila dihidangkan dengan ceramah yang penuh berisi oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Sohor Bani Leman dengan tajuk Menjana Ummah Gemilang.
Program dianjurkan dengan objektif untuk meningati dan mengenali junjungan besar rasulullah s.a.w. dengan lebih mendalam. Walaupun terpaksa meninggalkan tugasan pejabat namun kesemua anggota Kumpulan PKINK tidak melepaskan peluang untuk turut serta. Bacaan berzanji/rawi oleh kumpulan berzanji AlHidayah dari Pasir Mas yang terdiri daripada Hj Abd Ghani Daud, Hj Abdullah Mat Hussin dan Hj Muhamad Daud turut memeriahkan majlis.
Tuan Ketua Eksekutif Kumpulan PKINK, YBrs Tuan Wan Yahya Wan Salleh dalam ucapan aluan beliau, menyatakan hasrat agar program ini bukan sekadar sambutan malahan akan melahirkan pesonaliti-pesonaliti yang baik yang tidak lagi memerlukan kepada peraturan yang wujud di badan-badan kerajaan. Melalui penghayatan dan amalan ajaran Rasulullah s.a.w. akan membentuk anggota yang memberi menafaat dan menyumbang kepada kemajuan bukan sahaja di peringkat Perbadanan malahan di peringkat ummah.
Majlis dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Hj Ahmad Yakob dan seterusnya dihidangkan dengan sesi ceramah oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Sohor Bani Leman. Semuga himpunan yang dianjurkan mampu membentuk wahdatul fiqh dan sekaligus bakal membuahkan wahdatul amal dalam menunjukkan kecintaan kita kepada rasulullah s.a.w serta melalui penerapan nilai-nilai baginda dalam kerja urus harian.
|