KOTA BHARU, 15 Sept - Aplikasi digital Kelantan Pay yang berfungsi sebagai satu sistem pembayaran bersepadu secara atas talian untuk Kerajaan Negeri Kelantan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan agensi swasta dilancarkan hari ini oleh Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Bin Abdullah. Aplikasi yang dibangunkan oleh Kelantan ICT Gateway (KIGSB) syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) ini dijangka mampu menggalakkan aktiviti ekonomi negeri melalui transaksi bayaran tanpa tunai yang disediakan. Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada Play Store untuk pengguna android serta App Store bagi pengguna IOS. Para pengguna boleh membuat pembayaran dalam talian menggunakan kaedah Financial Process Exchange(FPX), kad kredit, kad debit dan e-dompet yang lebih mudah dan cepat di mana-mana sahaja. Dato' Mohd Amar berkata aplikasi ini adalah salah satu dari inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha mempersiapkan Kelantan ke arah transformasi digital dalam perkhidmatan kerajaan. Jelasnya, langkah itu juga selari dengan situasi semasa yang menyaksikan peningkatan kebergantungan terhadap teknologi digital di seluruh negara susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung pandemik COVID-19. “Kerajaan Negeri menyasarkan penggunaan Kelantan Pay akan meningkat dari semasa ke semasa menjelang akhir tahun ini apabila kesemua PBT menggunakan aplikasi ini secara sepenuhnya untuk terimaan bayaran lesen, cukai bandar dan pelbagai bentuk bayaran lain,” katanya.
KOTA BHARU, 26 Ogos 2020 – Hotel Al Ansar dan Unit Tabung Darah, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bekerjasama dengan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA) Negeri Kelantan menganjurkan Program Derma Darah Merdeka 2020 di Dewan Al-Ansari, Hotel Al Ansar, Kota Bharu. Program ini diadakan bersempena Hari Kebangsaan yang ke -63 yang bakal menjelang.
Pegawai Perubatan (HRPZII) Dr. Nur Hidayah Bakri menyifatkan program kerjasama ini adalah satu langkah yang baik untuk menggalakan masyarakat Kelantan tampil menderma darah dan memupuk kesedaran tentang kepentingan masyarakat membantu para pesakit yang memerlukan transfusi darah.
“Program pada hari ini disertai oleh orang awam dan penjawat awam di sekitar yang tampil menderma darah. Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir membantu kami mengatasi masalah kekurangan bekalan darah” jelasnya. Sebanyak 88 pint darah berjaya dikumpulkan pada hari ini.
Pengerusi (MYBHA) Kelantan, Wan Fauziah Wan Mamat menjelaskan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin amat bermakna kerana ia amat bertepatan dengan hasrat untuk mewujudkan masyarakat yang prihatin yang dapat dizahirkan dengan kesanggupan untuk meluangkan masa untuk hadir menderma darah.