Pilih Bahasa English Melayu | RSS PKINK Facebook PKINK Twitter PKINK Wikipedia PKINK
+609-7414141

Terajui Birokrasi Dengan Budaya Islam 0

Posted on 13, Mei 2014

in Category Slot Kerohanian


(Diterbitkan dalam buletin PKINK edisi Januari 2012)

TERAJUI BIROKRASI DENGAN BUDAYA ISLAM

Oleh Ustaz A. Ubaidillah bin Alias

DALAM sebuah buku berjudul Leaders Talk Leadership, disebutkan bahawa ada lima cabaran besar yang perlu ditangani oleh seorang majikan dalam membentuk satu pasukan yang berjaya. Iaitu :

 

  1. 1.Mengurangkan karenah birokrasi.
  2. 2.Mendekatkan pengguna atau pelanggan dengan pihak dalaman sesebuah syarikat.
  3. 3.Mempastikan pihak pengurusan sentiasa mendengar dan menilai sebarang aduan daripada pekerja barisan hadapan.
  4. 4.Memberi lebih perhatian kepada pekerja yang mempunyai idea di luar kotak.
  5. 5.Memberi dorongan kepada golongan yang suka membuat penemuan baru dan berinovasi dengan cara memberi ganjaran yang fleksibel.

Kelima-lima perkara di atas bukan terkena atas pundak majikan semata-mata, malah ianya berkait secara langsung dengan setiap pekerja dimana-mana posisi atau agensi. Kelima-lima perkara tersebut merupakan satu cabaran umum kepada mana-mana agensi kerajaan atau swasta dalam membina sebuah pasukan yang kukuh dan berdaya saing.

 

Kita mengerti bahawa keseluruhan sistem dan operasi bergerak menerusi tangan dan jiwa manusia. Bukan bergantung kepada mesin dan komputer. Untuk mengatasi masalah birokrasi, mendekatkan diri dengan pengguna, mendengar aduan, memberi perhatian, membalas jasa baik dengan ganjaran. Semuanya memerlukan budaya penyucian hati dan jiwa yang berterusan di semua peringkat. Jika kita mampu mengharmonikan kompetensi dan karismatik anggota dalam satu budaya islami, maka organisasi itu akan menjadi perkasa.

 

Pepatah menyebut “Untuk memperbaiki dunia, maka perbaiki manusia yang berada di dalamnya. Untuk memperbaiki manusia, perbaiki hati yang berada di dalam diri nya.”

 

Untuk memperbaiki hati, islam meletakkan taqwa sebagai matlamat utama kehidupan. Kerana taqwa akan merubah hati manusia, sekaligus merubah dunia yang didiami oleh mereka. Saya percaya setiap agensi atau organisasi sedang memikirkan cara untuk memperkasa kumpulan mereka dalam suasana krisis pecah amanah, krisis ekonomi dan jenayah kian meningkat dari masa ke semasa. Penulis berpandangan bahawa ia hanya mampu dilakukan dalam tiga cara.

 

PEMBELARAN ILMU BERTERUSAN

 

Sabda nabi SAW “Ilmu adalah imam kepada amalan (kerja) dan setiap amalan perlu menuruti ilmu”. Dunia ini diurustadbir oleh manusia. Mesin juga tidak akan mampu berjalan sendiri jika manusia tidak memprogramkan ia untuk satu-satu objektif. Untuk mempastikan manusia membuat sesuatu objektif yang betul, mereka perlu dipandu dengan ilmu yang betul. Di sinilah Islam memandu jiwa manusia agar memperolehi taqwa, yang memberi kekuatan untuk manusia memahami dosa dan pahala. Maka, setiap keputusan akan memimpinnya kepada kejayaan. Tanpa ilmu, mereka akan kesesatan dalam gelombang dunia.

 

Pepatah menyebut “When we stop learning, we stop leading”

 

Maka, perkara yang perlu dibiasakan ialah pesanan daripada al-Quran dan hadis. Setiap organisasi perlu mewujudkan satu pembudayaan ilmu di syarikat atau kumpulan masing-masing. Ini bagi mempastikan kesedaran jiwa terhadap taqwa bertambah dari masa ke semasa. Malah, ia perlu dilazimkan demi memperingatkan mereka yang terlalai atau terlupa.

 

Pengulangan pesanan perlu dibuat secara harian, mingguan dan bulanan. Pepatah menyebut “Repeatition is a mother of knowledge” Apabila adanya pengulangan dan kelaziman dalam memberi peringatan, maka manusia akan berjaya dibentuk. Firman Allah :

 

Maksudnya : Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman. (Surah az-Dzariyat ayat 55)

 

BERJEMAAH SECARA MENYELURUH

 

Jangan sesekali proses tazkirah ini dilakukan untuk individu tertentu sahaja, malah ia perlu dilakukan secara berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak akan memberi impak yang besar jika dilakukan secara kelompok kecil. Jangan sekadar diwajibkan golongan bawahan menghadiri kuliah, sedangkan golongan atasan dibiarkan. Ilmu adalah untuk semua dan bukan untuk segelintir. Majlis ilmu adalah taman syurga, melazimi taman syurga akan menjadikan hati seluruhnya saling mencintai dan teguh silaturrahim.

 

Pepatah menyebut “If you want to go quickly, go alone. If you want to far, go together”

 

Proses ini memakan masa, tetapi ia akan menjadi sangat berkesan. Anda mungkin boleh membuat perubahan yang drastik, tetapi kesannya juga akan hilang secara drastik. Maka, pembudayaan ilmu dan sikap berjemaah ini perlu dipupuk beransur-ansur menerusi dua cara :

 

Pertama, melazimkan sembahyang berjamaah dalam kalangan pekerjanya. Dengan mewujudkan surau di ruang pejabat dan mewajibkan anggota hadir berjemaah.

 

Kedua, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan stafnya, dengan mewujudkan kuliah secara mingguan dan bulanan. Tanpa dikecualikan seorangpun daripada pangkat tertinggi hingga ke bawah.

 

Alhamdulillah, penulis melihat pihak PKINK telah berjaya mewujudkan suasana pemupukan ini. Kesan positifnya juga sudah mampu dilihat, tinggal hanya untuk mengekalkan budaya ini secara berterusan. Dengan kekalnya budaya ini, masalah pecah amanah, krisis ekonomi samaada untung rugi, kadar jenayah akan dapat disusutkan jumlahnya dari hari ke hari.

 

Sebagai kesimpulan, karenah birokrasi dan semua isu yang disebutkan dalam mukaddimah esei ini merupakan masalah yang menjadi polemik pada semua organisasi atau jabatan. Maka, langkah yang penulis sebutkan tadi sebagai satu cadangan penyelesaian bagi pengurus atau majikan yang beragama Islam. Sebolehnya perubahan ini dimulakan oleh pengurusan tertinggi dan diikuti oleh orang bawahan. Jangan pula menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Semoga perkongsian ini memberikan kebaikan, insya Allah.