Pilih Bahasa English Melayu | RSS PKINK Facebook PKINK Twitter PKINK Wikipedia PKINK
+609-7414141

Serulah Manusia Bersolat 0

Posted on 13, Jun 2014

in Category Slot Kerohanian


SERULAH MANUSIA BERSOLAT

oleh Ustaz A. Ubaidillah bin Alias

SERINGKALI apabila kita mahu keluar membeli-belah, waktunya berdekatan dengan waktu solat. Akhirnya menyebabkan kita terlepas solat berjemaah di masjid atau terlewat menunaikan solat tersebut secara bersendirian di rumah. Kita sering memilih waktu untuk keluar bersiar-siar tanpa melihat terlebih dahulu waktu solat yang sudah hampir. Lalu kita buat-buat tidak tahu, atau sengaja membiarkan waktu itu berlalu.

 

Bagi remaja yang menonton bola, ada yang keluar ke perlawanan dan perlu memasuki stadium lebih awal. Ia akan menyukarkan proses untuk bersolat apabila berada di dalam stadium. Namun, bagi mereka yang mendirikan solat tidak semuanya sanggup mengajak rakan-rakan mereka untuk turut serta mengerjakan solat. Barangkali mereka berasa malu. Barangkali mereka merasakan ajakan itu hanya membazir atau membuang masa.

 

Sedangkan Allah SWT sendiri menyuruh kita mengajak manusia mengerjakan solat. Sebagaimana mafhum dalam satu ayat “Mintalah pertolongan dengan kesabaran dan bersolat”. Allah sentiasa menyeru manusia agar bersolat. Tetapi kita yang mengaku muslim dan beragama islam mudah merasa malu untuk bertutur hal-hal berkaitan solat.

 

Barangkali kita tidak menyedari bahawa pertuturan kita selalunya banyak yang sia-sia. Banyak yang tiada kaitan dengan kebajikan mahupun pahala. Apatah lagi menyeru orang lain berbuat kebajikan. Kerana ini adalah tabiat manusia biasa yang punya nafsu, apatah lagi syaitan yang sering membuatkan kita lalai dan jauh dari melaksanakan tuntutan beragama.

 

Saya ingin memberitahu suatu kisah benar. Yang mana terdapat seorang lelaki berumur enam puluh tahun, akan tetapi dia masih giat dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Lalu seseorang bertanya kepadanya apakah rahsia kekuatan jiwanya sehingga masih berdakwah walaupun sudah mencecah usia 60an.

 

Dia menjawab, “Saudaraku aku mempunyai satu kisah.”

 

“Kisah apakah itu?” Jawab pemuda itu.

 

Dia berkata, “Sejak tuga puluh lima tahun yang lalu kami bertiga bersama teman-teman bekerja di bidang galian minyak, saat itu kami sangat meremehkan perkara solat kecuali salah seorang dari kami, dialah orang yang paling rajin menjaga solatnya.

Lima belas tahun yang lalu teman yang paling rajin ini meninggal dunia (Semoga Allah merahmatinya), tujuh tahun kemudian aku melihatnya di dalam mimpi, aku bertanya kepadanya, “Apa yang kamu dapatkan?” Dia menjawab “Ternyata kesalahanku lebih banyak daripada kebaikanku.”

 

Aku katakan, “Jadi kamu masuk neraka?”

 

Dia menjawab, “Tidak.”

 

Aku bertanya, “Kenapa begitu? Padahal kesalahanmu lebih banyak daripada kebaikanmu?”

 

Dia menjawab, “Apakah kamu masih ingat saat aku mendatangimu saat kamu dan si fulan sedang bermain ping-pong, lalu aku mengajak kamu berdua untuk menunaikan solat. Akan tetapi kamu tidak mahu. Kemudian aku berusaha menutup meja ping-pong lalu menarik kamu ke masjid, selanjutnya kita solat berjemaah di sana?”

 

Aku jawab, “Ya, aku ingat.”

 

Dia berkata, “Demi Allah, aku menemukan kejadian tersebut dalam catatan perbuatanku, dengan kejadian itu kebaikanku menjadi lebih berat (dalam timbangan) daripada kesalahanku sehingga aku dimasukkan ke dalam syurga.”

 

Setelah kejadian itu, pakcik tua itu mulai rajin menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, giat melakukannya demi mengharap rahmat Allah Ta’ala agar dia berkenan mempertemukan dirinya dan temannya tersebut di syurga yang indah.”

 

Saudaraku, betapa banyak ucapan yang boleh menghantar seseorang ke dalam syurga, dan di sisi lain banyak ucapan yang dapat menghantarkan seseorang ke dalam neraka Jahannam. Saudaraku, apakah kita telah melakukan amar makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan)?

 

Kenapa kita tidak mencontohi rasul kita Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan segala kepahitan yang dia dapatkan dalam menyebarkan agama ini, kenapa kita tidak meniru para salafus soleh dalam melakukan amar makruf nahi mungkar?

 

Di manakah peranan kita dalam melakukan kewajiban ini? Mereka telah mengorbankan jiwanya untuk agama ini, menghabiskan masanya untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran?

Dalam kisah ini memperlihatkan sebuah tauladan yang sangat baik. Ia menzahirkan sifat-sifat mahmudah yang perlu dipakai dalam jiwa seorang pendakwah. Jika seorang muslim memiliki sifat agung ini pasti dakwahnya akan berhasil. Antaranya ialah sifat kesabaran.

 

Saudaraku, sudahkah kita menyeru kepada kebaikan? Sudahkah kita mencegah dari kemungkaran? Kemudian kita bersabar atas risiko yang ditimbulkan, sebagaimana bersabarnya Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam, para sahabat dan para salafus soleh?

 

Sebuah pertanyaan meunggu jawapan jujur dari hati kita masing-masing.

 

Saudaraku, tidakkah kamu mahu termasuk golongan umat yang terbaik diutuskan kepada manusia?

 

“kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali ‘Imran : Ayat 110)

 

Allah berada di balik setiap kehendak dan Dia-lah yang memberikan petunjuk kepada jalan kebenaran.